Tuesday, March 16, 2010

Penentuan Arah Qiblat Surau AMAL Al-Azhar, Ulu Kota



AMAL Sarawak, 29 Rabi’ul Awwal 1431H: Alhamdulillah! Sukacita dimaklumkan bahawa Yayasan Amal Malaysia (AMAL) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Bintulu Iqra’ Center (BIC), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Sarikei dan Harakah Islamiah (HIKMAH) Sarawak dalam proses membina Surau AMAL Al-Azhar di Perkampungan Saudara Kita di Ulu Kota, Pakan.

Alhamdulillah, pada 12-13 Mac 2010 yang lepas, Pengerusi Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak Saudara Muhtar bin Suhaili dan Saudara Mohd Ali bin Murad telah turun padang ke Ulu Kota bersama-sama Pegawai Jabatan Tanah dan Survei Sarikei iaitu Encik Yusof bin Mohd Salleh dan Encik Abang Danial bin Abang Ahmad bagi tujuan penentuan arah qiblat Surau berkenaan. Turut hadir sama ialah Ketua Kaum Encik Azhar bin Abdullah dan penduduk Perkampungan Saudara Kita serta Kontraktor Pembinaan yang dilantik yang diketuai oleh Encik Sylvester Kutok ak Muyang.

Untuk makluman, majlis pecah tanah tapak Surau berkenaan telah dijalankan pada 14 Februari 2010 yang lepas dan turut dihadiri oleh sukarelawan-sukarelwan AMAL serta pegawai-pegawai dari JAIS dan HIKMAH. Insya Allah pembinaan Surau ini akan diteruskan dan dijangka siap pada Jun 2010. Marilah kita sama-sama doakan semoga urusan pembinaan Surau AMAL Al-Azhar ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan menjadi masjid yang dibina atas dasar taqwa.


AMAL Sarawak dengan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Jabatan Tanah dan Survei Sarikei di atas komitmen dan khidmat yang jitu dalam penentuan arah qiblat baru-baru ini. Terima kasih tidak terhingga juga kepada pihak JAIS, HIKMAH dan ABIM Sarikei di atas kerjasama yang diberikan dan semoga hubungan ukhuwwah yang terbina akan berkesinambungan pada masa akan datang.

Sebagai perkongsian, marilah kita sama-sama menghayati fikrah Dr. Mustafa as-Siba’i dalam perbahasan beliau tentang pembinaan Masjid Nabawi serta fungsi sebenar masjid. Semoga ada khair dan manfaatnya buat kita semua.

“Apabila Rasulullah SAW sampai ke Madinah, maka kerjanya yang pertama ialah membina padanya masjid. Ini menunjukkan kepentingan masjid dalam Islam… Apatah lagi bagi masjid itu mesej kemasyarakatan dan keruhanian yang besar kedudukannya dalam kehidupan Muslimin. Masjidlah yang menyatupadukan mereka, mendidik jiwa, menyedarkan hati dan akal, menyelesaikan masalah dan di masjidlah dizahirkan kekuatan dan prinsip mereka.

Sejarah masjid dalam Islam telah membuktikan bahawa daripada masjid bergeraknya tentera Islam memenuhi bumi dengan hidayah Allah. Daripada masjid juga diutuskan obor cahaya dan hidayah untuk Muslimin dan selain mereka. Di masjidlah bermula subur dan berkembangnya benih ketamadunan Islam. Tidaklah Abu Bakr, `Umar, Uthman, `Ali, Khalid, Sa`ad, Abu `Ubaidah dan seumpama mereka, yang merupakan tokoh-tokoh agung sejarah Islam melainkan para penuntut di madrasah Muhammadiyyah (sekolah Rasulullah SAW) yang bertempat di Masjid Nabawi… Jadikanlah masjid kembali sebagai tempat utama dalam semua institusi kemasyarakatan kita, jadikanlah masjid kembali memainkan peranannya dalam mentarbiah manusia, melahirkan tokoh, membaiki kerosakan masyarakat, memerangi kemunkaran dan membina masyarakat atas asas taqwa dan keredhaan Allah”.

(Al-Siba’i, Al-Sirah an-Nabawiyyah: Durus wa `Ibar, m.s. 74-75 Jordan: al-Maktab al-Islami).

Sesungguhnya Allah SWT akan memberikan kemenangan kepada mereka yang berjuang keranaNya. Allah telah berjanji:

“Intansurullah! Yansurkum (Jika kamu membela agama Allah, nescaya Allah akan menolong kamu)”.

Untuk keterangan lanjut program-program Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak pada masa akan datang, sila hubungi Saudara Muhtar Suhaili (016-8909717), Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir (019-3491567), Saudara Abdul Azeez Mohamad (019-8874784), Saudara Mohd Azwani Abdul Rani (013-3603290), Saudari Wan Lydia Salmi Wan Junaidi (016-8509242) atau layari laman sesawang www.amalsarawak.net.

Wallahu a’lam bissawab.



0 comments:

Post a Comment