Sunday, August 30, 2009

ZIARAH DAKWAH KUALA TATAU

29 Ogos, Bintulu - AMAL Sarawak dengan kerjasama Bintulu Iqra Center (BIC) telah menganjurkan Ziarah Dakwah untuk kali yang ketiga dalam bulan Ramadhan ini iaitu di Kuala Tatau. Rombongan Jawatankuasa Kebajikan Islam Bintulu Port Sdn Bhd juga turut serta dalam ziarah dakwah kali ini.

Peserta rombongan berkumpul di Masjid Assyakirin untuk mendengar taklimat ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Ibrahim. Seterusnya, Ustaz Salehuddin mengetuai bacaan doa sebelum perjalanan dimulakan.

Kami bertolak kira-kira jam 8.30 pagi menuju ke jeti Kuala Tatau. Sampai sahaja di sana, sebuah bot sudah menanti kami untuk membawa kami ke seberang. Ini merupakan pengalaman menarik bagi ahli rombongan yang tidak pernah menaiki bot sebelum ini.

Setibanya kami di Masjid Al-Amin, Kuala Tatau, kelihatan penduduk kampung sudah menunggu kami di sana. Kehadiran kami disambut meriah oleh penduduk kampung. Program bermula dengan taklimat ringkas dari ketua rombongan iaitu Ustaz Ibrahim dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengerusi AMAL Sarawak, Ustaz Halim dan Ketua Kampung. Seterusnya, program diteruskan lagi dengan tazkirah ringkas mengenai Ramadhan oleh Ustaz Salehuddin.

Sejurus selepas tazkirah ringkas, sumbangan yang dibawa, diserahkan kepada 79 keluarga terpilih. Program ini, diakhiri dengan persembahan nasyid oleh rombongan muslimin yang menyampaikan lagu rasmi Yayasan AMAL Malaysia iaitu Ber'amal Kerana Allah.

Kepada pihak yang ingin menyumbang, boleh terus berurusan dengan pihak BIC. Pihak kami mengalu-alukan sesiapa yang berminat untuk turut serta dalam siri Ziarah Dakwah yang kami anjurkan.

Monday, August 24, 2009

ZIARAH DAKWAH KE KUALA SEGAN

23 Ogos, Bintulu - YAYASAN AMAL MALAYSIA Cawangan Bintulu dengan kerjasama Bintulu Iqra Center (BIC) telah berjaya menganjurkan Ziarah Dakwah untuk kali yang kedua dalam bulan Ramadhan ini. Kali ini, kawasan sasaran ialah Kuala Segan.

Aktiviti dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Ustaz Abd Halim., timbalan penegrusi, Yayasan Amal Malaysia cawangan Sarawak. Seterusnya pada jam 3.30 petang, konvoi ziarah dakwah bertolak ke Kuala Segan. Alhamdulillah, penyertaan ziarah dakwah kali ini amat memberangsangkan.

Sebelum bergerak ke rumah penerima sumbangan, kami solat Asar di surau Kuala Segan dan sempat mendengar tazkirah pendek yang disampaikan oleh Ustaz Salehuddin. Ziarah dakwah diteruskan dengan pembahagian dua kumpulan yang akan bergerak berasingan.

Program berakhir dengan pemyampaian sumbangan kepada keluarga-keluarga terpilih. Pihak AMAL dan BIC mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam program ini.


Tuesday, August 18, 2009

FORUM DIAMBANG RAMADHAN

17 Ogos - YAYASAN AMAL MALAYSIA Unit Bintulu dan Bintulu Iqra' Center dengan kerjasama JKTAIB, JAIS, PPD BINTULU Jabatan Penerangan, IPD Bintulu, BDA, JKR Surau At-Takwa dan JAKSA telah berjaya menganjurkan Forum Perdana di Ambang Ramadhan yang telah diadakan di Bangunan Martabat, Bintulu. Program tersebut telah dihadiri masyarakat di sekitar Sibiew dan guru-guru serta pelajar. Program bermula pada pukul 8.45 malam dan tamat pada pukul 11.00 malam.

Program tersebut dipengerusikan oleh En. Afendi Soon dari SK Asyakirin dan Ustaz Shamsujunaidi bertindak sebagai moderator program. Panel yang terlibat ialah Ustaz Ahmad Mukarrom Hilal, Ustaz Khalipah Juli, Ustaz Salehudin Abu Samah dan Ustazah Nik Mursyidah Binti Nik Din.

Acara tersebut dimulai dengan bacaan ayat suci al-Quran yang telah dibaca oleh adik Aufa Binti Abd Rahim. Selepas itu pengerusi majlis telah menyerahkan moderator forum untuk meneruskan acara forum bersama ahli panel yang mengupas tajuk " Ramadhan Al-Mubarak : persediaan dan penghayatan ".



Bacaan ayat suci Al-Quran telah diperdengarkan oleh adik Aufa
Binti Abd Rahim, murid tahun 2 dari SK Orang Kaya Mohammad


Para panelis sedang berforum



Hadirin muslimat khusyuk mendengar forum

Monday, August 17, 2009

KUNJUNGAN UKHUWAH KE ITB

16 Ogos, Bintulu - YAYASAN AMAL MALAYSIA Unit Bintulu dengan kerjasama Bintulu Iqra' Center mengadakan kunjungan ukhuwah ke Institut Tahfiz Bintulu atas jemputan Pengerusi ITB, Tuan Haji Yaacob Juned. Pada kesempatan ini, Yayasan Amal telah menyumbangkan barangan kepada para pelajar sebagai persediaan dan peringatan tentang kehadiran Ramadhan yang bakal tiba hanya beberapa hari sahaja lagi.

Program ini turut disertai oleh Biro Wanita Masjid Darul Hidayah yang menyumbangkan juga cenderamata untuk pelajar ITB. Kehadiran dianggarkan 50 orang hampir memenuhi dewan ITB. Program bermula pada pukul 9 malam dimulai dengan ucapan Ustaz Salehudin selaku penasihat ITB merangkap penasihat BIC dan seterusnya ucapan daripada pengerusi Darul Hidayah Tuan Haji Ir. Mohd Nasser Abd Wahab dan diakhiri dengan ucapan Ustaz Syahrizan yang akan meninggalkan ITB untuk menyambung pengajian beliau ke peringkat yang tertinggi.

Program berakhir pada pukul 10.30 malam selepas penyampaian sumbangan kepada pelajar-pelajar dan cenderamata dari pihak AMAL dan BIC kepada Masjid Darul Hidayah dan ITB. Para jemputan menikmati jamuan ringan sebagai penutup program pada malam ini.

Monday, August 10, 2009

ZIARAH DAKWAH KE ULU SEGAN


Sukarelawan AMAL bergambar kenangan dengan
penghuni rumah Panjang Banyai, Ulu Segan


9 Ogos, Bintulu - AMAL Unit Bintulu memulakan Ziarah Dakwah ke Ulu Segan pada pagi tadi. Aktiviti bermula pada pukul 8.30 pagi dengan disertai hampir 30 orang sukarelawan AMAL Bintulu. Seramai 10 keluarga miskin dan mualaf telah dikenal pasti untuk kami ziarahi pada pagi ini dengan memberi sedikit sumbangan kepada mereka.

Aktiviti bermula dengan ucapan dan taklimat ringkas oleh pengarah program iaitu Ustaz Abdul Halim yang juga merupakan Timbalan pengerusi AMAL Cawangan Sarawak. Ustaz Muzakkir mengetuai bacaan doa sebelum perjalanan dimulakan.

Ziarah dakwah kami kali ini turut disertai juga oleh Ustaz Ismawi dan Ustaz Tha bo. Kebanyakan komunikasi sepanjang aktiviti kali ini memerlukan kemahiran berbahasa Iban. Mujur kami dibantu oleh Ustaz Ismawi Ishak.

Program berakhir setelah menyampaikan kesemua sumbangan kepada para peserta yang terpilih. Pihak AMAL dan BIC mengucapkan berbanyak terima kasih kepada sukarelawan yang sanggup meluangkan masa, tenaga dan wang ringgit ( sanggup menggunakan kenderaan sendiri ) untuk bersama-sama AMAL turun memberi sumbangan dan bantuan kepada masyarakat rumah panjang Banyai, Ulu Segan. Kepada semua penyumbang, pihak kami mengucapkan jazakumullah khukairan khathira, semoga segala sumbangan kita akan diterima oleh Allah. Insyaallah.

Kepada pihak lain yang ingin menyumbang boleh berurusan dengan pihak BIC. Pihak kami mengalu-alukan kepada yang berminat untuk turut serta di dalam Ziarah Dakwah yang dianjurkan oleh pihak kami. Program ziarah dakwah seterusnya ialah di Kampung Segan pada 23 Ogos 2009.

Ustaz Abd Halim sedang memberi taklimat kepada peserta Ziarah Amal



Sebahagian peserta Ziarah Dakwah



Konvoi Ziarah Dakwah





Ustaz Abd Halim sedang menyampaikan sumbangan kepada Tuai Rumah
panjang, En Datuk. Namanya kini ialah Mohd Saufi Bin Abdullah