Sunday, September 6, 2009

ZIARAH DAKWAH KAMPUNG LABANG

Bintulu, 5 September - YAYASAN AMAL MALAYSIA Sarawak Unit Bintulu dan Bintulu Iqra' Center sekali lagi turun untuk "Ziarah Dakwah". Destinasi kami kali ini ialah Kampung Labang yang mengambil masa kira-kira satu jam setengah dari bandar Bintulu.

Seperti biasa, program dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Ustaz Ibrahim (pengurus BIC) dan seterusnya bacaan doa oleh Ustaz Sardi,Pengerusi YAM Bintulu. Kami memulakan perjalanan pada jam 8.30 pagi.

"Sebelum menaiki bot untuk ke Kampung Labang, kami terpaksa menempuhi jalan tanah merah yang masih basah dan berlumpur. Perjalanan yang mencabar tidak mematahkan semangat kami, bahkan menjadi satu pemangkin buat kami atas dasar ikatan ukhuwah islamiyyah" ujar Hafiz.

Setibanya sukarelawan AMAL dan BIC di Kampung Labang, sukarelawan AMAL dan BIC dibawa ke Sekolah Kebangsaan Labang, yang kebetulan sedang melalui sesi persekolahan. Kegigihan dan iltizam guru-guru di sana untuk mendidik anak bangsa sangat dikagumi.

Selesai menziarahi SK Labang, sukarelawan terus dibawa ke surau untuk meneruskan program. Program di surau dimulai dengan ucapan alu-aluan Ketua Kampung iaitu TK. Michi b. Lau. Seterusnya, Ustaz Sardi selaku Pengerusi AMAL Unit Bintulu menyampaikan sedikit taklimat ringkas mengenai Yayasan AMAL Malaysia.

Program diserikan lagi dengan sesi tazkirah ringkas oleh Tuan Haji Abdul Rani dari Pejabat Pelajaran Daerah Bintulu. Selepas penyampaian tazkirah, sumbangan yang dibawa mula diagihkan kepada 36 keluarga terpilih. Pihak Jawatankuasa Kebajikan Islam Bintulu Port Sdn Bhd (JKI BPSB) turut mengambil peluang untuk menyampaikan sumbangan kepada pihak surau. Program diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Ibrahim.

Pihak YAYASAN AMAL MALAYSIA dan BIC mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Kampung Labang, Tuan Iman dan tidak ketinggalan Ustaz Nazrie dan Hanit di atas kerjasama yang diberikan sepanjang program. Ucapan terima kasih dan tahniah kepada sukarelawan AMAL dan BIC di atas pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit. Moga Allah menerima segala amal yang telah dilakukan.