Wednesday, October 20, 2010

Majlis Qurban dan Perasmian Surau AMAL Al-Azhar

Insyaallah, bersempena dengan kedatangan Hari Raya Aidil Adha atau lebih dikenali dengan Hari Raya Qurban, Bintulu Iqra Center (BIC) dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak (AMAL) akan mengadakan majlis Qurban dan Akikah di Sarikei dan Penempatan Saudara Kita, Ulu Kota, Pakan. Program ini adalah hasil dari penyertaan individu-individu dari Miri, Sarikei dan terutamanya dari Bintulu.
Sehubungan dengan itu, bagi pihak penganjur, AMAL ingin mengajak seramai mungkin masyarakat untuk turut serta dalam program ini nanti. Anda boleh menyertai untuk mengambil bahagian dalam Qurban atau Akikah. Anda juga boleh menyumbangkan makanan, pakaian, sumbangan wang ringgit atau boleh juga menyumbangkan (meminjamkan) pacuan empat roda untuk kegunaan rombongan ke sana.
Berdasarkan perancangan semasa, para peserta dari Bintulu akan bertolak pada malam 19 November 2010 (Jumaat). Oleh itu, bagi sesiapa yang berminat, anda bolehlah menghubungi nombor yang dipaparkan didalam poster.
Semoga segala usaha kita ini mendapat keredhaan dan rahmat dari Ilahi.

Saturday, August 7, 2010

FORUM DI AMBANG RAMADHAN


7 Ogos, Bintulu- Bersempena ketibaan tetamu yang mulia, Ramadhan Al-mubarak, kerjasama antara Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Bintulu (JTAIB), Jabatan Agama Islam Bintulu, Yayasan Amal, Masjid Darul Hidayah, BDA, JKI Bintulu Port, Bintulu Iqra' Center dan IKRAM berjaya melaksanakan Forum Di Ambang Ramadhan di Masjid Darul Hidayah

Friday, July 23, 2010

Malam Puisi Kemanusiaan Gaza anjuran UMT Terengganu


TERENGGANU, 20hb Julai 2010. Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu dijemput untuk memeriahkan majlis malam puisi Kemanusiaaan Gaza yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Dalam masa yang sama Amal Terengganu menerima sumbangan dari pelajar-pelajar dan warga kerja UMT. Artis jemputan pada malam tersebut adalah kumpulan Raihan.


Sunday, July 11, 2010

PROGRAM SEPANJANG KARNIVAL AMAL MERDEKA

1 Ogos 2010 Ziarah Dakwah 1

8 Ogos2010 Forum Di Ambang Ramadhan & Pelancaran Tabung Infaq Ramadhan(Di Masjid Syakirin Bintulu).

15 Ogos2010 Ziarah Dakwah 2

21 Ogos 2010 AMAL Eidul Ilmi.

22 Ogos2010 Ziarah Dakwah 3

28 Ogos 2010 Qiyamullail Mega

29 Ogos2010 Forum Merdeka, Iftor Bersama Amal / BIC & Pameran Merdeka. Edaran Risalah

30 Ogos 2010 Iftor Jam’ei Bersama Masyarakat Sg Plan & Ceramah Nuzul Al-Quran.

31 Ogos2010 Penutupan Rasmi & Penyampaian Sumbangan dari Tabung Infaq Ramadhan



JOM BERDAFTAR DENGAN KAMI AGAR ANDA MENDAPAT KEMASKINI MAKLUMAT PROGRAM YANG AKAN DIJALANKAN

Friday, July 9, 2010

KARNIVAL AMAL MERDEKA 2010


BEROBJEKTIFKAN

2.1 Merapatkan hubungan antara Yayasan Amal Malaysia, Cawangan Sarawak dengan Badan-badan Berkanun mahupun Badan-Badan Tidak Berkanun di Sarawak.

2.2 Memupuk masyarakat Bintulu yang prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik serta mempunyai status ekonomi yang rendah.

2.3 Membentuk paradigma positif, sikap penyayang serta pemikiran yang kreatif dan kritis melalui program yang telah direncana.

2.4 Mewujudkan komuniti yang mampu bekerja sebagai satu pasukan, profesional, penyayang dan kreatif serta selari dengan gagasan 1 Malaysia.


YAYASAN AMAL MALAYSIA UNIT BINTULU MEMBAWAKAN KEPADA ANDA,
KARNIVAL AMAL MERDEKA 2010 (EDISI RAMADHAN)


Thursday, July 8, 2010

Sukan Berkala AMAL-BIC


3 Julai, Bintulu- Yayasan Amal Malaysia bersama Bintulu Iqra' Center sekali lagi berjaya menganjurkan sukan berkala, sukan yang telah dipilih pada kali ini adalah Futsal.

Bermula dengan proses "memanas badan" secara bersama, seterusnya diteruskan dengan bersukan dan diakhiri dengan pengisian tazkirah. Sukan berkala ini telah diceriakan oleh gelagat Aiman (anak Ustaz Halim, Timbalan Pengerusi AMAL Sarawak) yang turut serta bersukan bersama.

Semoga kecerian bersukan dapat dikongsikan lagi dengan lebih ramai peserta pada masa-masa yang akan datang.



Saturday, June 12, 2010

Baner AMAL Bintulu - GAZA

Thursday, June 10, 2010

KENYATAAN RASMI YAYASAN AMAL MALAYSIA UNIT BINTULU BERKENAAN SERANGAN ISRAEL TERHADAP KONVOI KEMANUSIAAN KE GAZA

Yayasan Amal Malaysia Unit Bintulu (AMAL Bintulu) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim kerajaan haram Israel dibawah pimpinan Benjamin Netanyahu terhadap serangan dan pembunuhan sukarelawan kemanusiaan “Lifeline4Gaza”. Konvoi bantuan yang disertai oleh sukarelawan dari seluruh dunia ini melibatkan sukarelawan Islam dan bukan Islam tanpa mengira usia.
Peristiwa ini telah membuka mata masyarakat dunia terhadap kekejaman Israel yang sanggup menyerang konvoi di lautan antarabangsa dan melepaskan peluru hidup terhadap peserta konvoi yang tidak bersenjata. Seandainya mereka sanggup berbuat demikian terhadap konvoi antarabangsa, apatah lagi terhadap penduduk Islam di Palestin khususnya di Gaza.
Jika kita ingin menyingkap kembali sejarah, beratau-ratus bahkan beribu-ribu kebiadaban Israel telah dilakukan terhadap umat Islam Palestin. Antaranya adalah sejak lebih 60 tahun yang lalu, rakyat Palestin terus-terusan dinafikan hak untuk menghirup udara kebebasan di tanah tumpah sendiri.
Tragedi Naqbat tahun 1948, penduduk Palestin telah dihalau dari kampung halaman masing-masing secara kejam oleh Israel, seterusnya, sekitar akhir tahun 60-an, dalam “Peperangan Enam Hari”, tanah-tanah dirampas daripada bangsa Palestin, didirikan pula penempatan-penempatan haram tanpa merasa bersalah atau segan silu. Seterusnya, pada tahun 1982, iaitu tragedi pembunuhan beramai-ramai ke atas kanak-kanak, wanita dan mereka yang tidak berdosa di kem pelarian Shabra dan Shatila. Kini umat Islam di Gaza telah dikurung di dalam penjara besar dengan pembinaan tembok di sempadan Gaza dan Israel menghalang penduduk Gaza dari mendapat bekalan makanan, air bersih, ubat-ubatan dan bahan binaan dari luar.
Lantaran itu, AMAL Bintulu menyeru seluruh lapisan masyarat tanpa mengira bangsa dan anutan agama agar:
1) Menigkatkan kesedaran terhadap apa yang berlaku kepada penduduk Islam Palestin yang dipenjarakan di dalam penjara besar di Gaza.
2) Bersatu membela dengan menghulurkan bantuan dan mendoakan penduduk Palestin agar terhindar dari kezaliman Israel.
3) Menyokong segala usul dalam menghukum Israel terhadap keganasan yang telah mereka lakukan keatas umat Palestin khususnya dan masyarakat dunia amnya.
4) Menyokong kempen anti Israel dengan memboikot barangan yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat proksi Israel diseluruh negara

KENYATAAN RASMI AMAL BINTULU TERHADAP SERANGAN SUKARELAWAN KE GAZA

Wednesday, June 2, 2010

Sekatan keatas GAZA


Penghalangan atau pemenjaraan keatas Gaza bermula pada Jun 2007. Pemenjaraan ini disokong oleh kerajaan Mesir dan USA, begitu juga Negara-negara lain. Ia melibatkan pembinaan tembok antara sempadan Gaza dengan Mesir dan Israel, ia juga melibatkan penghalangan sempadan perairan yang dilakukan oleh tentera laut Israel sejauh tiga batu notika. Ia berikutan kemenangan kerajaan Hamas melalui pilihanraya.
Sebelum pembinaan penjara besar ini, Israel talah pun melakukan sekatan-sekatan jalan raya menuju ke Gaza dan menutup Lapangan Terbang Antarabangsa Gaza berikutan tercetusnya kebangkitan Intifada pada September 2000. Bermula September 2001, Israel telah mula tidak membenarkan kemasukan apa-apa barangan ke Palestin dengan alasan tidak membenarkan barangan sampai ke “pengganas”. Israel terus menerus menggelarkan dan melabelkan umat Islam Palestin yang mempertahankan hak dan tanah mereka sebagai pengganas.
Selepas 9 Oktober 2001, pergerakan penduduk Palestin dan barangan antara Gaza dan Tebing Barat melalui Israel diperketatkan, dan bermula 14 November 2001, sekatan sepenuhnya dilaksanakan.

Lebih dari 1.5 juta penduduk Gaza telah dihalang dari berhubung dengan dunia luar dan terpaksa bertarung hidup dengan penuh kekurangan. Sekatan ini, ia telah menyebabkan 1.5 juta penduduk Gaza menjadi mangsa tanpa mengira tua, muda, bayi juga wanita. Mereka terhalang dari mendapat bekalan makanan, ubatan, pendidikan, bahan binaan, bahan bakar dan termasuk semua bahan keperluan asas.
Keadanan bertambah teruk apabila Israel menjalankan operasi “Cast Lead” dari 27 Desember 2008 hingga 18 Januari 2009, Israel telah menyerang dan memusnahkan bangunan penduduk awam termasuk hospital, sekolah, sistem perairan dan elektrik. Beribu rumah penduduk telah dimusnahkan dan dianggarkan 280 buah sekolah dari 641 buah yang ada di gaza telah dirosakkan manakala 18 darinya telah musnah.
Bantuan perubatan pula dihalang dari memasuki Gaza, manakala pesakit pula dilengahkan dari mendapat rawatan di luar Gaza. Pada 1 November 2009, Samir al-Nadim, bapa kepada 3 orang anak telah terbunuh sesudah mendapat keenaran meniggalkan gaza untuk mendapat rawatan jantung selepas proses menghantarnya ke hospital di luar Gaza telah ditangguhkan selama 22 hari.
Laporan dari lebih 80 organisasi kemanusiaan mengatakan kesihatan 1.4 juta penduduk Gaza dalam keadaan bahaya dengan sekatan yang dilakukan oleh Israel dan Mesir ini. Seorang pelajar bernama Fidaa Hijji berumur 18 tahun pula meninggal dunia akibat menghidap canser pada 2007 ketika dalam proses mendapat kebenaran untuk dirawat dari Israel. Kebenaran untuk mendapat rawatan diberikan selepas beliau meniggal dunia.

Sunday, April 25, 2010

Program Seminar Ekonomi Islam

Friday, April 9, 2010

Futsal AMAL vs SK TG BATU



Ustaz Sardi, KU AMAL Bintulu, Firdaus, Unit ICT dan Hafiz Pengarah Karnival AMAL (dari kiri)

Bintulu, 9 April - Yayasan Amal Malaysia Unit Bintulu sekali lagi telah berjaya menganjurkan perlawanan persahabatan Futsal diantara Guru Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu dan sukarelawan AMAL.

Perlawanan Futsal ini telah dianjurkan di gelanggang futsal Kidurong atau lebih dikenali sebagai KFC dan berjaya mendapat penyertaan dari sukarelawan AMAL, guru serta sahabat-sahabat dari Kidurong. Melalui program yang telah dianjurkan, ia telah mengeratkan lagi ikatan ukhuwah disamping menyihatkan jasmani.

"Kita mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan program kita pada malam ini, juga kepada pihak penganjur, jutaan ucapan tahniah dan semoga program yang baik ini dapat dijadikan aktiviti berkala oleh Biro Sukan dan Rekriasi AMAL" ujar Ustaz Mohd Sardi, Ketua Unit AMAL Bintulu ketika diminta mengulas.




Saturday, March 27, 2010

Karnival AMAL 2010

Hafiz Raof (paling kiri), pengarah program Karnival AMAL

Bintulu, 12 Rabiul Akhir bersamaan 27 Mac - Yayasan Amal Malaysia Unit Bintulu sekali lagi mencatat suatu sejarah penting dalam takwimnya tersendiri apabila berlangsungnya mesyuarat mula bagi Karnival AMAL Merdeka-Ramadhan 2010.

Karnival AMAL merupakan program terbesar Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak, program ini akan diadakan serentak di antara unit Bintulu, Miri dan Kuching. Terkandung dalam perancangan Unit Bintulu adalah program-program seperti ziarah dakwah, pameran, edaran risalah, tazkirah Ramadhan, gotong-royong membuat bubur lambuk, dan banyak lagi.

Program-program ini akan turut melibatkan banyak kerjasama dengan agensi-agensi serta NGO-NGO lain, antaranya JKTAIB, JAIS, PPD, JAKSA, BIC, NISA, masjid-masjid dan surau-surau di Bintulu, PDRM, Petronas dan banyak lagi.

Sukarelawan AMAL kelihatan ceria semasa mesyuarat berlangsung

Bersamalah kita nantikan program-program yang telah diaturkan nanti. "Kita ingin melibatkan seberapa ramai masyarakat dan ingin menyumbangkan seberapa banyak manfaat kepada komuniti setempat. Dalam masa sama, saya amat mengalu-alukan kepada sesiapa sahaja yang ingin menjadi AJK atau peserta" ujar pengarah program, Saudara Hafiz Raof.

Percambahan-percambahan idea memastikan perancangan sebaiknya dilakukan

Semoga programyang akan dilaksanakan pada Ogos ini yang dimulakan dengan perancangan awal dan teliti ini dalat memberi manfaat sebaiknya kepada mayarakat.

Saudara Kita DI Palestin



Salam hormat kepada semua pengunjung blog Yayasan Amal Malaysia Unit BIntulu.

Kami melancarkan info dari Palestin, lihat di sebelah kiri blog.

Friday, March 26, 2010

Seminar Ekonomi Islam

Sunday, March 21, 2010

Siri Ziarah Dakwah 1- Kg Kuala Segan, Bintulu.


Bintulu: Yayasan Amal Malaysia(YAM) Caw. Sarawak, Unit Bintulu telah menganjurkan Ziarah Dakwah 1 ke Kg Kuala Segan pada 20 Mac 2010 lepas dengan kerjasama Bintulu Iqra Center(BIC), JASA ABF dan J/K Surau Darul Yakin,Kg Kuala Segan. Program ini disertai para ahli dan sukarelawan AMAL dan masyarakat setempat. Pihak AMAL SARAWAK mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yg terlibat memberikan kerjasama dalam menjayakan program ini khasnya yg telah menyumbangkan duit,tenaga dan masa. Moga semua amal kebajikan ini diterima Allah. - Oleh KU Bintulu

Friday, March 19, 2010

Penghantaran Barang Binaan Ke Ulu Kota, Pakan



AMAL Sarawak, 4 Rabi’ul Akhir 1431H: Alhamdulillah! Yayasan Amal Malaysia (AMAL) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Bintulu Iqra’ Center (BIC), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Sarikei dan Harakah Islamiah (HIKMAH) Sarawak dalam proses mengusahakan pembinaan Surau AMAL Al-Azhar di Perkampungan Saudara Kita di Ulu Kota, Pakan.

Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan bahawa sebahagian bahan-bahan pembinaan Surau telah dibeli dan dalam proses penghantaran ke Perkampungan Saudara Kita di Ulu Kota, Pakan. Untuk atap bumbung dan besi-besi, pihak AMAL Sarawak ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyumbang ikhlas di atas infaq dan sahabat-sahabat Bintulu (khususnya Ustaz Ibrahim Mat Isa) di atas ikhtiar membantu penghantaran barangan tersebut.

Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman dengan janjiNya:

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 261 )

Selain itu, pihak AMAL Sarawak juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Encik Adris dan Encik Abdul Aziz yang telah banyak membantu dalam pembelian serta pengurusan bahan-bahan binaan yang lain di Sarikei. Kepada Dr. Awang Ismail, Tuan Haji Junaidi, Ustaz Khairul, Ustaz Amir Ridhuan dan Ustaz Mohd Fadzli, jasa dan kebaikan kalian amat kami hargai dan sanjungi. Semoga Allah membalas keikhlasan antum dengan SyurgaNya. Jazakumullahu khairan kathiran!

Insya Allah pembinaan Surau ini akan diteruskan dan dijangka siap pada Jun 2010. Marilah kita sama-sama doakan semoga urusan pembinaan Surau AMAL Al-Azhar ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan menjadi masjid yang dibina atas dasar taqwa.


AMAL Sarawak dengan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Bintulu Iqra’ Center (BIC), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Sarikei dan Harakah Islamiah (HIKMAH) Sarawak di atas segala komitmen dan bantuan yang diberikan. Ssemoga hubungan ukhuwwah yang terbina akan berkesinambungan dan berterusan.

Masukkan sumbangan derma ke dalam akaun AMAL Sarawak

[Sila sms ke 016-8909717 begin_of_the_skype_highlighting 016-8909717 end_of_the_skype_highlighting selepas bank-in untuk rekod.]


Atau CEK bayaran kepada “Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak”, dan hantar ke alamat di bawah:

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak
Lot 741, Jalan Pujut 9, 98000 Miri, Sarawak
No. Telefon: 016-8909717 begin_of_the_skype_highlighting 016-8909717 end_of_the_skype_highlighting

Email: amalsarawak@yahoo.com.my

Sesungguhnya Allah SWT akan memberikan kemenangan kepada mereka yang berjuang keranaNya. Allah telah berjanji:

“Intansurullah! Yansurkum (Jika kamu membela agama Allah, nescaya Allah akan menolong kamu)”.



Tuesday, March 16, 2010

Penentuan Arah Qiblat Surau AMAL Al-Azhar, Ulu Kota



AMAL Sarawak, 29 Rabi’ul Awwal 1431H: Alhamdulillah! Sukacita dimaklumkan bahawa Yayasan Amal Malaysia (AMAL) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Bintulu Iqra’ Center (BIC), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Sarikei dan Harakah Islamiah (HIKMAH) Sarawak dalam proses membina Surau AMAL Al-Azhar di Perkampungan Saudara Kita di Ulu Kota, Pakan.

Alhamdulillah, pada 12-13 Mac 2010 yang lepas, Pengerusi Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak Saudara Muhtar bin Suhaili dan Saudara Mohd Ali bin Murad telah turun padang ke Ulu Kota bersama-sama Pegawai Jabatan Tanah dan Survei Sarikei iaitu Encik Yusof bin Mohd Salleh dan Encik Abang Danial bin Abang Ahmad bagi tujuan penentuan arah qiblat Surau berkenaan. Turut hadir sama ialah Ketua Kaum Encik Azhar bin Abdullah dan penduduk Perkampungan Saudara Kita serta Kontraktor Pembinaan yang dilantik yang diketuai oleh Encik Sylvester Kutok ak Muyang.

Untuk makluman, majlis pecah tanah tapak Surau berkenaan telah dijalankan pada 14 Februari 2010 yang lepas dan turut dihadiri oleh sukarelawan-sukarelwan AMAL serta pegawai-pegawai dari JAIS dan HIKMAH. Insya Allah pembinaan Surau ini akan diteruskan dan dijangka siap pada Jun 2010. Marilah kita sama-sama doakan semoga urusan pembinaan Surau AMAL Al-Azhar ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan menjadi masjid yang dibina atas dasar taqwa.


AMAL Sarawak dengan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Jabatan Tanah dan Survei Sarikei di atas komitmen dan khidmat yang jitu dalam penentuan arah qiblat baru-baru ini. Terima kasih tidak terhingga juga kepada pihak JAIS, HIKMAH dan ABIM Sarikei di atas kerjasama yang diberikan dan semoga hubungan ukhuwwah yang terbina akan berkesinambungan pada masa akan datang.

Sebagai perkongsian, marilah kita sama-sama menghayati fikrah Dr. Mustafa as-Siba’i dalam perbahasan beliau tentang pembinaan Masjid Nabawi serta fungsi sebenar masjid. Semoga ada khair dan manfaatnya buat kita semua.

“Apabila Rasulullah SAW sampai ke Madinah, maka kerjanya yang pertama ialah membina padanya masjid. Ini menunjukkan kepentingan masjid dalam Islam… Apatah lagi bagi masjid itu mesej kemasyarakatan dan keruhanian yang besar kedudukannya dalam kehidupan Muslimin. Masjidlah yang menyatupadukan mereka, mendidik jiwa, menyedarkan hati dan akal, menyelesaikan masalah dan di masjidlah dizahirkan kekuatan dan prinsip mereka.

Sejarah masjid dalam Islam telah membuktikan bahawa daripada masjid bergeraknya tentera Islam memenuhi bumi dengan hidayah Allah. Daripada masjid juga diutuskan obor cahaya dan hidayah untuk Muslimin dan selain mereka. Di masjidlah bermula subur dan berkembangnya benih ketamadunan Islam. Tidaklah Abu Bakr, `Umar, Uthman, `Ali, Khalid, Sa`ad, Abu `Ubaidah dan seumpama mereka, yang merupakan tokoh-tokoh agung sejarah Islam melainkan para penuntut di madrasah Muhammadiyyah (sekolah Rasulullah SAW) yang bertempat di Masjid Nabawi… Jadikanlah masjid kembali sebagai tempat utama dalam semua institusi kemasyarakatan kita, jadikanlah masjid kembali memainkan peranannya dalam mentarbiah manusia, melahirkan tokoh, membaiki kerosakan masyarakat, memerangi kemunkaran dan membina masyarakat atas asas taqwa dan keredhaan Allah”.

(Al-Siba’i, Al-Sirah an-Nabawiyyah: Durus wa `Ibar, m.s. 74-75 Jordan: al-Maktab al-Islami).

Sesungguhnya Allah SWT akan memberikan kemenangan kepada mereka yang berjuang keranaNya. Allah telah berjanji:

“Intansurullah! Yansurkum (Jika kamu membela agama Allah, nescaya Allah akan menolong kamu)”.

Untuk keterangan lanjut program-program Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak pada masa akan datang, sila hubungi Saudara Muhtar Suhaili (016-8909717), Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir (019-3491567), Saudara Abdul Azeez Mohamad (019-8874784), Saudara Mohd Azwani Abdul Rani (013-3603290), Saudari Wan Lydia Salmi Wan Junaidi (016-8509242) atau layari laman sesawang www.amalsarawak.net.

Wallahu a’lam bissawab.



Sunday, March 14, 2010

TAHNIAH KEPADA 10 PELAJAR TERBAIK SPM 2009



Yayasan Amal Malaysia Unit Bintulu merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh pelajar yang telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, SPM 2009.

Ucapan tahniah khusus ditujukan kepada 10 pelajar yang telah di nobatkan sebagai 10 pelajar terbaik seluruh Malaysia. Lebih membanggakan pelajar terbaik adalah pelajar dari Sarawak Bumi Kenyalang. Semoga kejayaan beliau menjadi inspirasi kepada seluruh pelajar Sarawak untuk terus bersemangat menempa kejayaan.

Tidak ketinggalan juga ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Khadijah Ahmad Jais yang telah membuktikan bahawa hasil keluaran Sekolah Agama turut tersenarai sebagai tiga pelajar terbaik seluruh negara.


Kedudukan Nama Sekolah

1 Gladys Tan Yee Kim SMK Green Road, Kuching
2 Grace Kiew Sze-Ern SMK (P) Sri Aman, Petaling Jaya (HPS)
3 Khadijah Ahmad Jais SM Agama Persekutuan, Labu
4 Akmal Hidayat Sabri SMK Derma, Kangar
5 Syamilah Mahali Kolej Tunku Kurshiah, Seremban (HPS)
6 Amelia Lee Wei Ling SMK Taman Melawati,Gombak
7 Nur Syahadan Muhamad SMK Sains Tengku Muhd Faris Petra, KB
8 Lai Yin Kwin SMK Tinggi Melaka, Malacca
9 Corinne Gunn Huey Min SMK Taman Melawati, Gombak
10 Hu May Khei SMK Convent, Taiping

Saturday, March 13, 2010

PROGRAM PPDA DI SKTB



Yayasan Amal Malaysia Unit Bintulu mengucapkan jutaan tahniah kepada pentadbir, guru-guru , murid-murid SK Tanjung Batu, Bintulu dan semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan Program Pencegahan Dadah di Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu, Bintulu.
Lebih membanggakan lagi sekolah tersebut mewakili Bahagian Bintulu untuk Pertandingan PPDA peringkat Negeri sarawak 2010 dengan memberi kesedaran kepada para pelajar berkaitan dadah dengan cara yang sangat kretif.
Program sebegini tentunya dapat melahirkan generasi yang bebas dari najis dadah

yang menepati visi PPDA sekolah iaitu SK Tanjung Batu kekal bebas dari gejala dadah pada tahun 2012.
"Yayasan Amal sangat bangga dengan penganjuran program sebegini dan semoga dapat digandakan lagi, kita turut berbangga dengan apa yang telah ditunjukkan oleh pihak Sekolah SK Tanjung Batu" ujar Nik Lizam, Ketua Biro Pembangunan Insan dan Motivasi Yayasan Amal Unit Bintulu.


Saturday, March 6, 2010

BAGAIMANA RASULULLLAH S.A.W BERMAIN-MAIN DAN BERGURAU?


Rasulullah s.a.w sendiri pun mencari masa untuk bermain , bergurau dan bermesra dengan isteri, anak-anak dan cucu baginda.
Rasulullah s.a.w pernah membawa isterinya Saidatina Aisyah r.ha melihat orang Habsyi meraikan perayaan di dalam masjid hingga Aisyah r.ha berasa puas menonton barulah baginda pulang.
Baginda juga sering lumba lari dengan Aiasyah r.ha dan Baginda berpura-pura kalah supaya Aisyah r.ha gembira. Baginda juga sering bermain-main dengan cucu baginda sehinggakan ketika solat, cucu baginda iaitu Sayidina Husin r.a pernah memanjat tengkuk Baginda ketika sujud. Rasulullah s.a.w membiarkannya sehingga beliau sujud dengan begitu lama lama sekali sehingga cucunya turun.

Thursday, March 4, 2010

JOM JOIN AMAL

Saturday, February 27, 2010

DETIK TERAKHIR KEWAFATAN RASUL 1

Thursday, February 25, 2010

selamat menyambut maulidur Rasul

Wednesday, February 17, 2010

KURSUS MONTAJ


kepada anda yang berminat untuk menghasilkan montaj, dijemput menyertai Kursus Montaj pada 21 Feb 2010 di BIC. Kursus yang akan diadakan ini adalah anjuran unit ICT Yayasan Amal Malaysia dengan kerjasama BIC dan NISA' kawasan Bintulu.
Bagi memudahkan proses P&P anda digalakkan membawa Laptop yang mengandungi beberapa gambar, lagu dan video. Semoga dengan pelaksanaan kursus ini memberi manfaat kepada kita semua.

Sunday, February 14, 2010

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina

Saturday, February 6, 2010

Jom sertai Misi AMAL Sarawak ke Ulu Kota, Pakan

Insyaallah, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak sekali lagi merancang untuk menjayakan Program Ziarah Ukhuwah ke Ulu Kota, Pakan.

Program ini akan diadakan pada 12 - 16 Februari 2010 ini. Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan, bolehlah menyalurkannya ke akaun Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak (Bank Islam : No Akaun :11022010032002)

Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertainya, anda boleh membentuk kumpulan dan menguruskan kenderaan kumpulan anda (hanya kenderaan pacuan 4 x 4 yang boleh sampai ke sana). Untuk pendaftaran, anda boleh berhubung dengan Ketua Unit Bintulu, Ustaz Mohd Sardi - 013-9235267. atau Ketua Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan, Ustaz Ibrahim - 019-4535119

Thursday, February 4, 2010

RIADAH AMAL - JOM SERTAINYA

Thursday, January 28, 2010

OPEN YOUR EYES

Monday, January 25, 2010

FAMILY DAY AMAL



NIAH, 23 Jan - Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak telah berjaya menganjurkan sambutan "AMAL Family Day". Program tahunan ini telah dianjurkan oleh Yayasan Amal Unit Miri bertempat di Taman Negara Niah.

Program ini telah berjaya mengumpulkan sekitar 70 sukarelawan AMAL dari Miri, Bintulu, Kuching, Limbang dan juga sahabat dari negara jiran, Brunei Darussalam. Meskipun hari keluarga ini bermula pada 23 Januari, namun rombongan dari Bintulu berkonvoi pada pagi 24 Januari kerana sebahagian besar sukarelawan AMAL Bintulu bekerja pada 23 Januari.

Para sukarelawan AMAL Bintulu berkumpul di Masjid Darul Hidayah untuk menunaikan solat subuh berjamaah, kemudiannya diikuti dengan taklimat dan bacaan doa. Rombongan bintulu mula bergerak sekitar 7.00 pagi menuju ke Niah secara berkonvoi.

Dimulakan dengan Sesi Ta’aruf keluarga dan ahli sukarelawan, kemudian diisusuli dengan sukaneka yang melibatkan 4 kategori iaitu Kanak-kanak, Kaum Bapa/ Lelaki, Kaum Ibu/ Perempuan dan Famili. Program sukaneka diakhiri dengan penyampaian hadiah dan ucapan penangguhan oleh Timbalan Pengerusi AMAL Sarawak Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir.

Sebelum berangkat pulang, para sukarelawan menunaikan Solat Zuhur secara berjamaah. Program secara rasminya tamat pada sekitar jam 2.00 petang. Mesyuarat Yayasan Amal Malaysia (AMAL) Sarawak bagi Sesi 2009/2011 Kali Ke-4 juga telah diadakan pada petang tersebut.

Saturday, January 23, 2010

RIADAH AMAL



BINTULU, 23 Jan - Buat julung-julung kalinya, Biro Sukan dan Rekriasi Yayasan Amal Unit Bintulu telah berjaya menganjurkan riadah Amal pertamanya untuk tahun 1431H iaitu pada 16 Jan 2010. Bertempat di Dewan Sukan Sekolah Rendah Tanjung Batu, Bintulu, program ini menjadi suatu permulaan yang sangat menarik. Sukan badminton telah dipilih mengisi kalender Lajnah Sukan dan Rekriasi sebagai aktiviti pertama.

Dengan bermatlamatkan badan yang sihat dan pembinaan ukhuwah, maka terlaksanalah program Riadah Amal ini. Riadah ini turut dimuatkan dengan sesi tazkirah yang telah disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Amal Unit Bintulu sendiri.

Sebagai suatu permulaan yang baik, program-program seumpamanya amat-amatlah diharapkan untuk terus dianjurkan agar masyarakat terus mendapat manfaat dari kewujudan Yayasan Amal di bumi Kenyalang ini.

Wajah ceria terpampang pada wajah para peserta menunjukkan kepuasan mereka


En Azraie (pertama dari kanan) merupakan Ketua Biro Sukan dan Rekriasi Yayasan Amal Unit Bintulu.



Tazkirah yang disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Amal Unit Bintulu

Friday, January 22, 2010

TAKZIAH KEPADA PONDOK LUBUK TAPAH


BINTULU, 22 Jan: Yayasan Amal Malaysia Unit Bintulu mengucapkan takziah kepada pengurusan Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan yang kehilangan tiga blok asrama pelajar lelakinya dalam kebakaran kira-kira jam 2 pagi, hari ini.

Pondok berkenaan merupakan pusat pengajian agama yang tertua di Kelantan yang ditubuhkan oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Abdul Rahman Che Wan pada tahun 1931.

Pondok ini telah banyak berbakti kepada rakyat Kelantan dan umat Islam di negara ini umumnya. Semoga ujian yang berlaku ini tidaklah mematahkan semangat dan usaha pengurusan pondok untuk terus menaburkan bakti.

Sebagai tanda sokongan kepada pihak pengurusan Pondok Lubuk Tapah, masyarakat diseru untuk menghulurkan tangan memberi bantuan sama ada kepada pihak pengurusan pondok mahupun kepada para pelajarnya yang ditimpa musibah kebakaran ini. Bagi yang ingin memberikan sumbangan, bolehlah menghubungi pejabat pondok berkenaan di talian: 09-7905672 atau Saudara Azlan, 014-5064930

Bagi pengunjung yang ingin mendapatkan maklumat mengenai pondok, bolehlah melayari http://epondok.wordpress.com