Monday, November 30, 2009

"maka dirikanlah solat dan berkorbanlah"
(surah al-Kausar:2)


Setiap tahun apabila menjelang 10 zulhijjah pasti kisah pengorbanan besar yang dilakukan oleh nabi Ibrahim a.s dan anaknya nabi Ismail a.s akan kembali menerjah ke ruang ingatan kita. Ia juga menjadi antara bahan dan isi penyampaian dalam kutbah Jumaat atau dalam tazkirah di surau-surau sama ada sebelum atau selepas 10 Zulhijjah.


Yayasan Amal Malaysia unit Bintulu yang turut menyumbangkan satu bahagian daripada lembu yang dikorbankan yang diadakan bersama-sama Yayasan Amal Malaysia cawangan Sarawak ingin merafakkan setinggi kesyukuran kepada Allah dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat. . Pada 29 November 2009, Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak telah berjaya buat julung-julung kalinya menganjurkan program Qurban sempena ‘Eidul Adha 1430H bertempat di Kampung Mohd Taha, Bakong. Kampung Mohd Taha merupakan sebuah perkampungan saudara baru yang menempatkan 16 keluarga Saudara Kita berbangsa Iban. Seramai 19 orang sukarelawan Yayasan AMAL beserta keluarga yang diketuai oleh Pengerusi AMAL Sarawak, Saudara Muhtar Hj Suhaili telah turut serta dalam program kali ini.


Selaras dengan hikmah ibadah korban itu sendiri iaitu menambahkan rasa kasih sayang dan ikatan persaudaraan sesama umat Islam lebih-lebih lagi bagi insan yang bergelar saudara baru program ini berjaya merapatkan ukhwah disamping menyuburkan kasih sayang.


Melalui program ini juga, saudara Muhtar selaku Pengerusi AMAL Sarawak, telah menjelaskan objektif program Qurban ini dilaksanakan di kampung Mohd Taha. Antara penekanan yang disampaikan oleh beliau ialah pentingnya program kebajikan, kemasyarakan dan dakwah Islamiyyah khususnya kepada non-Muslim diperhebatkan di bumi Sarawak.

Wednesday, November 25, 2009


Yayasan Amal Malaysia unit Bintulu mengucapkan selamat hari raya Eidul Adha 1430 H. Yayasan Amal Malaysia cawangan Sarawak akan mengadakan program korban dan akikah di Kampung Mohd Taha, Bakong, Sarawak.

Friday, October 9, 2009

JOM BERDAFTAR SEBAGAI SUKARELAWAN AMAL

ANDA INGIN MENJADI SEBAHAGIAN DARI SUKARELAWAN YAYASAN AMAL MALAYSIA?
SERATAI KAMI DENGAN MENGISI BORANG DAN MENGHANTARKANNYA KE SEKATARIAT AMAL ATAU WAKIL-WAKIL YAYASAN AMAL MALAYSIA


YAYASAN AMAL MALAYSIA
CAWANGAN SARAWAK
UNIT BINTULU
Sebarang maklumat lanjut hubungi:
Ustaz M Sardi B Ismail 0139235267
Hafsah Mardhiah Bakeri 019-9805803

DENGAN BERDAFTAR SEBAGAI SUKARELAWAN/AHLI, ANDA AKAN DIMAKLUMKAN MENGENAI SEBARANG PROGRAM YANG DIRANCANG DAN PROGRAM-PROGRAM YANG DILAKSANAKAN




Sunday, September 6, 2009

ZIARAH DAKWAH KAMPUNG LABANG

Bintulu, 5 September - YAYASAN AMAL MALAYSIA Sarawak Unit Bintulu dan Bintulu Iqra' Center sekali lagi turun untuk "Ziarah Dakwah". Destinasi kami kali ini ialah Kampung Labang yang mengambil masa kira-kira satu jam setengah dari bandar Bintulu.

Seperti biasa, program dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Ustaz Ibrahim (pengurus BIC) dan seterusnya bacaan doa oleh Ustaz Sardi,Pengerusi YAM Bintulu. Kami memulakan perjalanan pada jam 8.30 pagi.

"Sebelum menaiki bot untuk ke Kampung Labang, kami terpaksa menempuhi jalan tanah merah yang masih basah dan berlumpur. Perjalanan yang mencabar tidak mematahkan semangat kami, bahkan menjadi satu pemangkin buat kami atas dasar ikatan ukhuwah islamiyyah" ujar Hafiz.

Setibanya sukarelawan AMAL dan BIC di Kampung Labang, sukarelawan AMAL dan BIC dibawa ke Sekolah Kebangsaan Labang, yang kebetulan sedang melalui sesi persekolahan. Kegigihan dan iltizam guru-guru di sana untuk mendidik anak bangsa sangat dikagumi.

Selesai menziarahi SK Labang, sukarelawan terus dibawa ke surau untuk meneruskan program. Program di surau dimulai dengan ucapan alu-aluan Ketua Kampung iaitu TK. Michi b. Lau. Seterusnya, Ustaz Sardi selaku Pengerusi AMAL Unit Bintulu menyampaikan sedikit taklimat ringkas mengenai Yayasan AMAL Malaysia.

Program diserikan lagi dengan sesi tazkirah ringkas oleh Tuan Haji Abdul Rani dari Pejabat Pelajaran Daerah Bintulu. Selepas penyampaian tazkirah, sumbangan yang dibawa mula diagihkan kepada 36 keluarga terpilih. Pihak Jawatankuasa Kebajikan Islam Bintulu Port Sdn Bhd (JKI BPSB) turut mengambil peluang untuk menyampaikan sumbangan kepada pihak surau. Program diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Ibrahim.

Pihak YAYASAN AMAL MALAYSIA dan BIC mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Kampung Labang, Tuan Iman dan tidak ketinggalan Ustaz Nazrie dan Hanit di atas kerjasama yang diberikan sepanjang program. Ucapan terima kasih dan tahniah kepada sukarelawan AMAL dan BIC di atas pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit. Moga Allah menerima segala amal yang telah dilakukan.

Sunday, August 30, 2009

ZIARAH DAKWAH KUALA TATAU

29 Ogos, Bintulu - AMAL Sarawak dengan kerjasama Bintulu Iqra Center (BIC) telah menganjurkan Ziarah Dakwah untuk kali yang ketiga dalam bulan Ramadhan ini iaitu di Kuala Tatau. Rombongan Jawatankuasa Kebajikan Islam Bintulu Port Sdn Bhd juga turut serta dalam ziarah dakwah kali ini.

Peserta rombongan berkumpul di Masjid Assyakirin untuk mendengar taklimat ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Ibrahim. Seterusnya, Ustaz Salehuddin mengetuai bacaan doa sebelum perjalanan dimulakan.

Kami bertolak kira-kira jam 8.30 pagi menuju ke jeti Kuala Tatau. Sampai sahaja di sana, sebuah bot sudah menanti kami untuk membawa kami ke seberang. Ini merupakan pengalaman menarik bagi ahli rombongan yang tidak pernah menaiki bot sebelum ini.

Setibanya kami di Masjid Al-Amin, Kuala Tatau, kelihatan penduduk kampung sudah menunggu kami di sana. Kehadiran kami disambut meriah oleh penduduk kampung. Program bermula dengan taklimat ringkas dari ketua rombongan iaitu Ustaz Ibrahim dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengerusi AMAL Sarawak, Ustaz Halim dan Ketua Kampung. Seterusnya, program diteruskan lagi dengan tazkirah ringkas mengenai Ramadhan oleh Ustaz Salehuddin.

Sejurus selepas tazkirah ringkas, sumbangan yang dibawa, diserahkan kepada 79 keluarga terpilih. Program ini, diakhiri dengan persembahan nasyid oleh rombongan muslimin yang menyampaikan lagu rasmi Yayasan AMAL Malaysia iaitu Ber'amal Kerana Allah.

Kepada pihak yang ingin menyumbang, boleh terus berurusan dengan pihak BIC. Pihak kami mengalu-alukan sesiapa yang berminat untuk turut serta dalam siri Ziarah Dakwah yang kami anjurkan.

Monday, August 24, 2009

ZIARAH DAKWAH KE KUALA SEGAN

23 Ogos, Bintulu - YAYASAN AMAL MALAYSIA Cawangan Bintulu dengan kerjasama Bintulu Iqra Center (BIC) telah berjaya menganjurkan Ziarah Dakwah untuk kali yang kedua dalam bulan Ramadhan ini. Kali ini, kawasan sasaran ialah Kuala Segan.

Aktiviti dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Ustaz Abd Halim., timbalan penegrusi, Yayasan Amal Malaysia cawangan Sarawak. Seterusnya pada jam 3.30 petang, konvoi ziarah dakwah bertolak ke Kuala Segan. Alhamdulillah, penyertaan ziarah dakwah kali ini amat memberangsangkan.

Sebelum bergerak ke rumah penerima sumbangan, kami solat Asar di surau Kuala Segan dan sempat mendengar tazkirah pendek yang disampaikan oleh Ustaz Salehuddin. Ziarah dakwah diteruskan dengan pembahagian dua kumpulan yang akan bergerak berasingan.

Program berakhir dengan pemyampaian sumbangan kepada keluarga-keluarga terpilih. Pihak AMAL dan BIC mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam program ini.


Tuesday, August 18, 2009

FORUM DIAMBANG RAMADHAN

17 Ogos - YAYASAN AMAL MALAYSIA Unit Bintulu dan Bintulu Iqra' Center dengan kerjasama JKTAIB, JAIS, PPD BINTULU Jabatan Penerangan, IPD Bintulu, BDA, JKR Surau At-Takwa dan JAKSA telah berjaya menganjurkan Forum Perdana di Ambang Ramadhan yang telah diadakan di Bangunan Martabat, Bintulu. Program tersebut telah dihadiri masyarakat di sekitar Sibiew dan guru-guru serta pelajar. Program bermula pada pukul 8.45 malam dan tamat pada pukul 11.00 malam.

Program tersebut dipengerusikan oleh En. Afendi Soon dari SK Asyakirin dan Ustaz Shamsujunaidi bertindak sebagai moderator program. Panel yang terlibat ialah Ustaz Ahmad Mukarrom Hilal, Ustaz Khalipah Juli, Ustaz Salehudin Abu Samah dan Ustazah Nik Mursyidah Binti Nik Din.

Acara tersebut dimulai dengan bacaan ayat suci al-Quran yang telah dibaca oleh adik Aufa Binti Abd Rahim. Selepas itu pengerusi majlis telah menyerahkan moderator forum untuk meneruskan acara forum bersama ahli panel yang mengupas tajuk " Ramadhan Al-Mubarak : persediaan dan penghayatan ".



Bacaan ayat suci Al-Quran telah diperdengarkan oleh adik Aufa
Binti Abd Rahim, murid tahun 2 dari SK Orang Kaya Mohammad


Para panelis sedang berforum



Hadirin muslimat khusyuk mendengar forum

Monday, August 17, 2009

KUNJUNGAN UKHUWAH KE ITB

16 Ogos, Bintulu - YAYASAN AMAL MALAYSIA Unit Bintulu dengan kerjasama Bintulu Iqra' Center mengadakan kunjungan ukhuwah ke Institut Tahfiz Bintulu atas jemputan Pengerusi ITB, Tuan Haji Yaacob Juned. Pada kesempatan ini, Yayasan Amal telah menyumbangkan barangan kepada para pelajar sebagai persediaan dan peringatan tentang kehadiran Ramadhan yang bakal tiba hanya beberapa hari sahaja lagi.

Program ini turut disertai oleh Biro Wanita Masjid Darul Hidayah yang menyumbangkan juga cenderamata untuk pelajar ITB. Kehadiran dianggarkan 50 orang hampir memenuhi dewan ITB. Program bermula pada pukul 9 malam dimulai dengan ucapan Ustaz Salehudin selaku penasihat ITB merangkap penasihat BIC dan seterusnya ucapan daripada pengerusi Darul Hidayah Tuan Haji Ir. Mohd Nasser Abd Wahab dan diakhiri dengan ucapan Ustaz Syahrizan yang akan meninggalkan ITB untuk menyambung pengajian beliau ke peringkat yang tertinggi.

Program berakhir pada pukul 10.30 malam selepas penyampaian sumbangan kepada pelajar-pelajar dan cenderamata dari pihak AMAL dan BIC kepada Masjid Darul Hidayah dan ITB. Para jemputan menikmati jamuan ringan sebagai penutup program pada malam ini.

Monday, August 10, 2009

ZIARAH DAKWAH KE ULU SEGAN


Sukarelawan AMAL bergambar kenangan dengan
penghuni rumah Panjang Banyai, Ulu Segan


9 Ogos, Bintulu - AMAL Unit Bintulu memulakan Ziarah Dakwah ke Ulu Segan pada pagi tadi. Aktiviti bermula pada pukul 8.30 pagi dengan disertai hampir 30 orang sukarelawan AMAL Bintulu. Seramai 10 keluarga miskin dan mualaf telah dikenal pasti untuk kami ziarahi pada pagi ini dengan memberi sedikit sumbangan kepada mereka.

Aktiviti bermula dengan ucapan dan taklimat ringkas oleh pengarah program iaitu Ustaz Abdul Halim yang juga merupakan Timbalan pengerusi AMAL Cawangan Sarawak. Ustaz Muzakkir mengetuai bacaan doa sebelum perjalanan dimulakan.

Ziarah dakwah kami kali ini turut disertai juga oleh Ustaz Ismawi dan Ustaz Tha bo. Kebanyakan komunikasi sepanjang aktiviti kali ini memerlukan kemahiran berbahasa Iban. Mujur kami dibantu oleh Ustaz Ismawi Ishak.

Program berakhir setelah menyampaikan kesemua sumbangan kepada para peserta yang terpilih. Pihak AMAL dan BIC mengucapkan berbanyak terima kasih kepada sukarelawan yang sanggup meluangkan masa, tenaga dan wang ringgit ( sanggup menggunakan kenderaan sendiri ) untuk bersama-sama AMAL turun memberi sumbangan dan bantuan kepada masyarakat rumah panjang Banyai, Ulu Segan. Kepada semua penyumbang, pihak kami mengucapkan jazakumullah khukairan khathira, semoga segala sumbangan kita akan diterima oleh Allah. Insyaallah.

Kepada pihak lain yang ingin menyumbang boleh berurusan dengan pihak BIC. Pihak kami mengalu-alukan kepada yang berminat untuk turut serta di dalam Ziarah Dakwah yang dianjurkan oleh pihak kami. Program ziarah dakwah seterusnya ialah di Kampung Segan pada 23 Ogos 2009.

Ustaz Abd Halim sedang memberi taklimat kepada peserta Ziarah Amal



Sebahagian peserta Ziarah Dakwah



Konvoi Ziarah Dakwah





Ustaz Abd Halim sedang menyampaikan sumbangan kepada Tuai Rumah
panjang, En Datuk. Namanya kini ialah Mohd Saufi Bin Abdullah

Sunday, July 12, 2009

Karnival AMAL MERDEKA 2009



Jom beramai-ramai memeriahkan karnival tersebut

"Sik rugi bah padah urang Sarawak"

Tuesday, June 2, 2009

MONTAJ HARI KELUARGA AMAL BINTULU 2009

Monday, May 25, 2009

Bengkel Pemerkasaan AMAL 2009-2011





AMAL Sarawak, 30 Jamadil Awwal 1430H: Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, pada hujung minggu lepas bermula petang Sabtu (23 Mei 2009) sehingga petang Ahad (24 Mei 2009), seramai hampir 50 orang ahli dan sukarelawan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak (AMAL Sarawak) telah berkampung di Villa Mardhiah, Bintulu untuk sama-sama berpartisipasi dan menjayakan Bengkel Pemerkasaan Halatuju dan Pelan Tindakan AMAL Sarawak bagi Sesi 2009-2011.


Program yang pertama seumpamanya selepas Muktamar Pertama Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak pada 15 Mac 2009 yang lalu ini dirangka khusus dengan objektif seperti berikut:

  • Membentuk dan menentukan halatuju AMAL Sarawak mengikut suasana setempat berlandaskan syariat Islam,
  • Membentuk Blue Print perlaksanaan gerak kerja AMAL Sarawak bagi sesi 2009-2011,
  • Menyediakan perancangan tindakan jangka pendek dan tindakan jangka panjang,
  • Mengeratkan lagi ukhuwwah antara pimpinan, ahli dan sukarelawan AMAL Sarawak.

Antara pengisian sepanjang program ini termasuklah Pengisian Khas daripada Ustaz Hj Elilas bin Zakaria, Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah berkongsi dengan para hadirin tentang “Dakwah dan Pengorbanan”. Beliau telah memberi penekanan kepada pentingnya Q&Q diberi perhatian dalam memastikan kejayaan misi dakwah. Q yang pertama ialah Quality iaitu kualiti dalaman ahli dan juga kualiti gerak kerja dalam pelaksanaan agenda kebajikan dan kemasyarakatan. Manakala Q yang kedua ialah Quantity, iaitu pentingnya usaha perkaderan dan mencari pelapis dakwah terus dijalankan. Selain itu, beliau juga menasihatkan ahli-ahli dan sukarelawan agar sentiasa menggunakan pendekatan berhikmah di dalam memasyarakatkan Budaya AMAL di Sarawak.


Sementara itu, Saudara Muhtar Hj Suhaili selaku Pengerusi AMAL Cawangan Sarawak pula telah berkongsi dengan rakan-rakan seusahanya berkenaan “Yayasan AMAL Malaysia di Sarawak… Satu Perjalanan”. Beliau telah mengimbas kembali tentang sejarah bertapaknya AMAL Malaysia di Sarawak, realiti dakwah di Sarawak, pencapaian semasa yang telah diikhtiarkan, program-program yang telah dilaksanakan, penekanan tentang pentingnya usul-usul muktamar diberi perhatian dan harapan agar semua ahli serta sukarelawan AMAL terus istiqamah dalam perjuangan.


Seterusnya Saudara Mohd Azwani bin Abdul Rani, Setiausaha AMAL Cawangan Sarawak telah menjadi moderator Bengkel Penetapan Pelan Tindakan dan KPI. Perbincangan telah dibahagikan kepada 6 kumpulan mengikut biro-biro seperti berikut:

  1. Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan
  2. Biro Pembangunan Insan dan Motivasi
  3. Biro Pembangunan Belia dan Sukan
  4. Biro Ekonomi dan Kewangan
  5. Biro ICT dan Multimedia
  6. Biro Hal Ehwal Wanita dan Keluarga.

Program selanjutnya diteruskan dengan sesi pembentangan dan sesi ‘brainstorming’ oleh setiap biro. Pelbagai program dan aktiviti, idea-idea bernas dan cadangan-cadangan mantap telah didiskusi dan dipersetujui. Kesemua hasil bengkel seterusnya akan diperhalusi dan disusun sebaiknya untuk dijadikan Blue Print pelaksanaan agenda AMAL Sarawak bagi sesi 2009-2011. Pembentangan resolusi menutup sesi bengkel dan mudah-mudahan segala yang dibincangkan ada khair dan manfaatnya kepada perjuangan menegakkan Islam di Bumi Kenyalang. Amiin.


Program selama dua (2) hari tersebut diakhiri dengan ucapan penangguhan oleh Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir, Timbalan Pengerusi Cawangan Sarawak. Di dalam ucapannya, Ustaz Abdul Halim telah menekankan akan keperluan untuk kita melaksanakan amanah yang telah ditaklifkan dengan sebaik-baiknya ke arah memenuhi tuntutan Allah dan RasulNya. Beliau juga mencadangkan agar sinergi gerak kerja serta ‘networking’ dan ’smart-partnership’ dengan NGO-NGO Islam yang lain dapat dipertingkatkan pada masa akan datang demi kemaslahatan usaha dakwah dan islah. Kebajikan ahli-ahli juga wajar diberi pertimbangan yang sewajarnya demi memastikan rasa kebersamaan dan kekukuhan gerakan dapat dipertahankan.




Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Cawangan Kali Ke-2 juga telah diadakan sejurus selepas tamatnya program bengkel tersebut.


Alhamdulillah, Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak dengan ini ingin mengucapkan syabas dan jazakumullahu khairan kathiran kepada semua ahli-ahli di atas komitmen dan kerjasama mantap di dalam menjayakan bengkel pada kali ini. Tahniah juga kepada Saudara Zahari Deli dan seluruh AJK pelaksana kerana berjaya melaksanakan program kali ini dengan cemerlang. Semoga Allah SWT menerima segala ‘amalan kita, terus mengikatkan hati-hati kita dalam iman dan mudah-mudahan kita semua akan istiqamah dalam kebaikan dan beroleh redhaNya. Amiin Ya Rabbal ‘Alamin.


“Berkhidmat Untuk Kemanusiaan, Ber’amal Kerana Allah”.


Sumber : http://amalsarawak.net/

Saturday, April 11, 2009

MAKLUMAT YAYASAN AMAL MALAYSIA